Wabak penyakit berjangkit dan amalan gaya hidup sihat
Fenomena penyakit berjangkit sudah biasa dalam kalangan masyarakat masa kini. Di Malaysia khususnya, fenomena penyakit berjangkit ini sering diuar-uarkan di media cetak, elektronik dan sebagainya. Namun begitu, masyarakat kini kurang mengambil berat terhadap amalan gaya hidp yang sihat. Oleh hal yang demikian, masyarakat akan mudah untuk dijangkiti penyakit terutamanya penyakit berjangkit yang semakin menular kebelakangan ini seperti penyakit selesema H1N1. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil oleh masyarakat untuk mengelakkan masyarakat daripada dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini demikian kerana, penyakit berjangkit ini semakin menular disebabkan amalan yang kurang sihat.
Masyarakat yang tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang akan mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini demikian kerana, pemakanan yang seimbang akan mendatangkan pelbagai jenis sumber tenaga di dalam tubuh badan kita. Sekiranya kita tidak mengamalkannya, antibodi yang terdapat di dalam badan akan menjadi lemah, kurangnya zat di dalam tubuh badan dan sebagainya. Hal yang sedemikian akan menyebabkan kita mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit disebabkan antibodi atau ketahanan diri yang lemah untuk melawan penyakit tersebut. Oleh hal yang demikian, langkah yang proaktif perlulah diambil oleh masyarakat untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit ini daripada dijangkiti, bak kata pepatah, "Mencegah lebih baik daripada mengubati".
Selain itu, masyarakat juga kurang menjaga kebersihan diri dan juga persekitaran. Hal yang sedemikian akan menyebabkan seseorang itu mudah untuk dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Dengan persekitaran yang kotor, seseorang akan mudah dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Sebagai contohnya, apabila seseorang itu memegang tombol pintu, kemudian tanpa membasuh tangan lalu makan, sudah tentu seseorang itu akan mendapat penyakit kerana tombol pintu tersebut mengandungi kuman yang dibawa oleh orang lain. Oleh hal yang demikian, langkah untuk membasuh tangan perlulah dipraktikkan oleh semua anggota masyarakat untuk mengelakkannya daripada djangkiti oleh penyakit. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, "Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah".
Hubungan sosial tanpa sekatan turut juga menyumbang kepada penularan fenomena penyakit berjangkit yang berteraskan kurangnya amalan gaya hidup sihat. Hubungan seks yang dilakukan oleh segelintir masyarakat akan menyebabkan viris HIV tersebar. Hal ini berlaku demikian kerana, tanpa pemakaian alat pencegahan seperti kondom, virus tersebut akan tersebar melalui alat sulit mereka. Hal yang sama juga berlaku seperti penggunaan atau perkongsian jarum suntikan untuk dadah. Amalan tersebut akan menyebabkan seseorang itu akan dijangkiti virus HIV dan seterusnya menghidap AIDS. Oleh itu, langkah yang bijak perlulah diambil oleh semua anggota masyarakat supaya dapat mengatasinya, bak kata pepatah, "Sediakan payung sebelum hujan".
Selain itu, kurang kesedaran daripada masyarakat turut menyebabkan penularan fenomena ini. Masyarakat pada masa kini terlalu mengejar kemewahan dengan mengumpul harta dunia sehingga kurang mengambil tahu terhadap isu semasa pada masa ini. Masyarakat jenis ini terlalu mementingkan diri mereka sendiri serta hidup di dalam dunianya sendiri. Kebanyakan daripada mereka ini tidak mengetahui isu semasa yang berkaitan dengan virus H1N1 yang mementingkan penjagaan kebersihan diri dan mengelakkan mereka daripada pergi ke luar negara untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti oleh virus tersebut.Namun begitu, segelintir daripada mereka terlalu mementingkan diri sendiri sehingga melanggar larangan tersebut. Apabila sudah dijangkiti barulah hendak menyesal, bak kata pepatah, ”Nasi sudah menjadi bubur".
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyarankan supaya sesiapa yang disyaki dijangkiti penyakit virus H1N1 supaya dikuarantin bagi mengelakkan virus tersebut daripada merebak. Namun begitu, masyarakat kini keras kepala sehingga mengancam nyawa orang lain. Perbuatan yang sedemikian telah membantu penyebaran virus tersebut sehingga sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa kesihatan. Langkah yang diambil seperti mengadakan kuarantin seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa bertujuan untuk menjaga kepentingan orang lain serta mengawal mereka daripada terus menyebarkan virus tersebut dengan lebih cepat.
Oleh hal yang demikian, penularan wabak penyakit berjangkit ini memang disebabkan oleh kurangnya amalan gaya hidup yang sihat oleh masyarakat. Jadi, langkah yang proaktif perlulah diambil oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan dengan cara yang lebih efektif seperti mempertingkat kempen-kempen kesedaran. Selain itu, pihak sekolah juga turut memainkan peranan yang penting untuk memberikan input mengenai penyakit berjangkit ini kepada para pelajar. Sekiranya langkah ini tidak diambil, nescaya masyarakat akan menjadi mangsa kepada ancaman penyakit berjangkit ini. Oleh itu, kita perlulah bersiap sedia untuk menghadapinya dan hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, ”Sediakan payung sebelum hujan”.
Comments
Post a Comment