Kebaikan Kerja Kerja Amal
Kerja-kerja
amal seperti menolong membersihkan rumah warga tua dan memungut derma
untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik banyak mendatangkan
kebaikan kepada remaja, masyarakat dan negara.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Firman
Allah dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8 yang bermaksud "Sesiapa
yang melakukan amalan baik walaupun sebesar zarah sekalipun pasti akan
diperlihatkan amalannya dan sesiapa yang melakukan amalan jahat walaupun
sebesar zarah, pasti akan diperlihatkan amalannya”. Demikianlah
peringatan Allah terhadap hamba-hamba-Nya supaya sentiasa melakukan
amalan kebajikan. Hal ini demikian kerana apabila mati seseorang anak
Adam, maka terputuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara yang masih
kekal iaitu sedekah dan derma yang digunakan untuk kebaikan, ilmu yang
bermanfaat yang digunakan untuk kesejahteraan manusia dan anak-anak
yang sering mendoakan kesejahteraan ibu bapanya. Mafhum daripada hadis
ini jelas menunjukkan bahawa amalan yang baik, yakni kerja-kerja amal
mampu mendatangkan variasi impak positif kepada remaja, masyarakat dan
negara. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum
malaikat maut datang menjemput kita ke alam barzakh, marilah kita
gunakan peluang dan kesempatan masa yang dikurniakan-Nya dengan
melakukan amalan yang mampu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat
sejagat. Ahli falsafah tersohor, Samuel Johnson pernah mengungkapkan
"Masa depan dibeli oleh masa sekarang". Kenyataan ini menjelaskan bahawa
setiap individu perlu menggunakan masa yang terluang dengan melakukan
kerja-kerja amal. Marilah kita seia sekata dan mengatur langkah yang
efektif untuk membuat amal kebajikan kerana terdapat pelbagai maslahat
daripada kerja amal yang kita lakukan.
Antara
maslahat yang diperoleh apabila remaja melibatkan diri dalam kerja amal
ialah remaja dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti yang
berfaedah. Hal ini bertepatan dengan kata-kata Ibu Zain yang antara
lainnya mengungkapkan "Sesungguhnya kebaikan sebenar ialah apabila kita
bekerja menabur bakti untuk bangsa dan negara selagi kita masih
bernyawa". (UM) Kata-kata beliau izhar menunjukkan bahawa kita perlulah
berbakti kepada masyarakat dengan cara mengisi masa lapang yang
terluang dengan melakukan kerja-kerja amal. Oleh itu, mengisi masa
lapang dengan melakukan kerja-kerja amal mampu mengatasi masalah
kebejatan akhlak sedera (sekali gus) remaja tidak lagi tempang dalam
menempuh cabaran hidup masa ini. Hal ini demikian kerana pada era
modenisasi ini, ramai remaja terjebak dengan masalah kebejatan akhlak
yang sudah terang lagi bersuluh bercanggah dengan ajaran agama kita dan
prinsip Rukun Negara yang ingin membina sebuah entiti masyarakat yang
mengutamakan kesopanan dan tatasusila dalam setiap tindakan. Tindakan
remaja melakukan kerja amal seperti menolong warga tua atau Orang
Kelainan Upaya (OKU) di rumah mereka membayangkan remaja melakukan
aktiviti yang berfaedah kerana memanfaatkan usia mudanya untuk menabur
bakti demi masyarakat mahupun negara. Kita harapkan apabila remaja
melakukan kerja amal, masalah kebejatan akhlak seperti lumba haram,
ragut, melepak, penyalahgunaan dadah dan lain-lain lagi akan berkurang
dan tidak mustahil akan mencapai tahap sifar sekali gus dapat
membendung kerenah remaja yang dikatakan tidak mempunyai jati diri. Ada
remaja yang masih tidak memahami erti kemerdekaan yang sebenar walaupun
hampir 58 tahun negara kita telah mencapai kemerdekaan. Benarlah
kata-kata pakar motivasi iaitu Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, iaitu
"Hakikatnya banyak bangsa di dunia ini telah merdeka, tetapi pemikiran
mereka masih terbelenggu oleh penjara diri. Konklusinya, sebagai bangsa
yang merdeka, kita seyogianya keluar daripada kepompong pemikiran yang
jumud supaya masa yang terluang dapat diisi dengan kerja-kerja amal
sekali gus masa terluang dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Selain
itu, kerja amal yang dilakukan mampu merealisasikan konsep 1Malaysia
iaitu dengan mengadakan aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua
golongan dan usaha ini menjadi teras untuk membina perpaduan yang
ampuh. Aktiviti gotong-royong merupakan salah satu kerja amal yang
menjadi wahana memenuhi misi kemanusiaan iaitu membantu golongan kurang
bernasib baik seperti OKU, golongan miskin dan ditimpa musibah. Hal ini
demikian kerana kerja amal yang kita lakukan berupaya mendekatkan diri
kita dengan masyarakat yang turut sama prihatin iaitu ingin
menghulurkan bantuan dan golongan yang dibantu. Oleh itu, kita tidak
akan digelar kera sumbang. Sikap memencilkan diri dan mementingkan diri
sendiri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
sebenarnya menyebabkan kita kehilangan tangan kiri kita kerana hidup
kita yang saling memerlukan dalam masyarakat. Tanpa kehadiran anggota
masyarakat yang lain, kita tidak mampu berdiri sebagai sebuah bangsa
yang merdeka kerana sesungguhnya kemajuan sesuatu bangsa itu tidak
terletak pada kesuburan tanahnya tetapi terletak pada kesatuan
bangsanya. Kerja-kerja amal yang dilakukan seperti membina surau,
membersihkan kawasan petempatan warga tua atau rumah anak-anak yatim
wajar dipergiatkan kerana remaja yang melibatkan diri akan mempunyai
nilai kasih sayang sekali gus membuka peluang kepada anggota masyarakat
untuk menabur bakti kepada golongan yang memerlukan. Hal ini bukan
sahaja dapat memupuk sikap suka menolong dan bersedekah dalam kalangan
rakyat, justeru dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia tanpa
melihat kepada perbezaan status. Kerja amal yang dilakukan juga
memperlihatkan kepada kita bahawa tiada lagi wujud anggota masyarakat
yang lepas tangan terhadap penderitaan orang lain. Masyarakat yang
prihatin dan sentiasa menghulurkan bantuan berjaya direalisasikan kerana
mereka sentiasa berpadu tenaga ke arah membantu golongan yang tidak
bernasib baik ini. Intihanya, kerja amal yang dilakukan mampu membentuk
ukhuwah yang erat kerana masing-masing tahu peranan yang sepatutnya
dimainkan demi kesejahteraan untuk semua.
Manfaat
daripada kerja amal yang seterusnya ialah kita berjaya menyahut cabaran
Wawasan 2020 yang ketujuh, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang.
Masyarakat penyayang sering disinonimkan dengan kehidupan masyarakat
yang bermuafakat. Masyarakat penyayang tidak bersikap individualistik,
sebaliknya meletakkan kepentingan masyarakat lebih daripada kepentingan
diri. Kecaknaan golongan yang berupaya membantu golongan yang kurang
bernasib baik membayangkan kepada kita bahawa mereka mempunyai perasaan
sayang akan golongan ini kerana tidak mahu golongan bernasib malang ini
terus dibelenggu kesusahan. Jack Hathawa iaitu seorang ahli falsafah
sendiri pernah ditanya tentang perkara yang akan beliau lakukan
sekiranya menjadi Timbalan Presiden pada suatu masa nanti dan beliau
menjawab "Saya pasti akan memperjuangkan kebajikan masyarakat walaupun
saya terpaksa berkorban harta dan nyawa kerana hal tersebut". Kesediaan
kita membantu membina rumah, membaiki rumah ataupun mengutip dana untuk
membantu golongan yang memerlukan dengan sendirinya membuktikan kita
amat sayang kepada golongan ini kerana tidak mahu mereka hidup dalam
kesusahan. Masyarakat penyayang sanggup merlakukan apa-apa sahaja
walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa demi kebajikan masyarakat.
Allah berrman yang bermaksud, "Tidak akan sempurna iman seseorang itu
jika dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya
sendiri'. Oleh hal yang demikian, kerja-kerja amal yang dilakukan dapat
mengukuhkan perasaan kasih dan sayang sesama insan sekali gus
masyarakat penyayang dapat dijelmakan di bumi bertuah ini, Malaysia.
Akhirulkalam,
semua anggota masyarakat perlulah berganding bahu dalam melaksanakan
obligasi sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap keperitan dan
kesusahan yang dialami oleh golongan yang daif dan ditimpa musibah.
Segala amal baik yang dilakukan akan merealisasikan visi kudsi negara ke
arah melahirkan masyarakat penyayang seperti yang diwara-warakan oleh
pemimpin negara. Hal ini bertepatan dengan sikap kita rakyat Malaysia
yang terkenal dengan adab dan nilai-nilai murni yang tinggi dan moleklah
kita jelmakan nilai tersebut dengan melakukan kerja amal terhadap
anggota masyarakat kita yang kurang bernasib baik. (UNSUR NILAI/MENDIDIK
PEMBACA) Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat,
(UNGKAPAN MENARIK) marilah kita mengatur langkah sederap, seia sekata
agar usaha kita berupaya meringankan beban golongan yang memerlukan
bantuan dan merealisasikan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan.
Comments
Post a Comment