Langkah-Langkah Atasi Pengangguran Di Malaysia

Kegawatan ekonomi menyebabkan jumlah penganggur di negara ini meningkat dengan begitu ketara sekali sehingga menimbulkan kebimbangan semua pihak. Jumlah penganggur yang tinggi untuk membuktikan kegagalan pihak kerajaan untuk mengatasi kemelut yang melanda ekonomi negara kerana terlalu bergantung kepada perkembangan ekonomi negara luar seperti Amerika Syarikat. Pihak media massa turut menyiarkan program yang menceritakan pengalaman penganggur untuk berjaya dalam hidup jadi bukti bahawa polemik pengangguran di negara ini mula menjadi isu politik juga. Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk mengatasi masalah pengangguran ini jika mereka mahu bertindak.

Langkah awal ialah kerajaan harus memberikan bantuan kewangan yang mampu memberi rangsangan kepada ekonomi untuk berkembang dengan pesat. Bantuan kewangan ini perlulah besar yakni menelan bilion ringgit supaya lebih banyak projek pembangunan dijalankan secara serentak kerana jika semua projek pembangunan dijalankan serentak sudah pasti jumlah pekerja yang diperlukan ramai dan semua orang berpeluang untuk bekerja. Pakej kewangan ini hendaklah diuruskan oleh kerajaan dengan bijak melalui pemilihan projek ekonomi yang boleh mencambahkan lebih banyak aktiviti ekonomi sampingan seperti ekonomi berasaskan teknologi dan penyelidikan tinggi. Jelaslah, ekonomi negara akan pesat membangun jika kerajaan menyediakan pakej bantuan kewangan yang banyak untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Pakej kewangan yang besar ini boleh diikuti dengan pengenalan pelbagai insentif baru kepada ahli-ahli perniagaan terutama pembinaan lebih banyak kawasan industri dan pemberian bebas cukai kepada industri yang tidak membuang pekerjanya. Pelbagai insentif ini mampu menguatkan semangat kepada ahli perniagaan untuk mencuba melakukan sesuatu yang baru dalam perniagaannya dan juga mengharungi cabaran kegawatan ekonomi dengan lebih terbuka dan rasional kerana menyedari bahawa pihak kerajaan berusaha untuk menyelamatkan mereka juga. Semua idea baru yang diperkenalkan sudah pasti mampu memberikan suntikan kepada ahli perniagaan untuk meneruskan kerja mereka tanpa perlu membuang pekerja sebaliknya mereka mungkin memerlukan lebih ramai pekerja untuk mengambil kesempatan yang wujud itu. Maka, kerajaan perlu memberikan idea-idea baru yang mampu memudahkan ahli perniagaan untuk menjalankan peranan mereka dengan lebih efektif.

Selain itu, usaha untuk memperkenalkan negara harus ditingkatkan oleh kerajaan menerusi pameran dan kunjungan rombongan ekonomi ke negara-negara lain. Lawatan sebegini menyebabkan lebih banyak negara luar menyedari kelebihan dan kepentingan mendirikan perniagaan di Malaysia berdasarkan maklumat yang tepat diperoleh daripada ahli-ahli rombongan ini. Kemasukan lebih banyak model asing ke negara ini sudah pasti mampu menjana lebih banyak aktiviti ekonomi bersama-sama dengan pakej ekonomi yang sebelum ini ditawarkan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi. Hal ini membutkikan bahawa usaha memperkenalkan negara ke mata dunia amat penting terutama jika semua rombongan ini digunakan dengan sebaik mungkin dan tidak hanya sebagai satu lawatan sahaja.

Pihak swasta pula terutama ahli perniagaan turut mempunyai perana tersendiri yakni mereka perlu sanggup berkorban ketika negara mengalami masalah kegawatan ekonomi ini. Pengorbanan mereka itu boleh dijelmakan dalam bentuk mengurangkan gaji atau ganjaran buat mereka dalam bentuk bonus dan sebagainya supaya wang itu boleh digunakan untuk memastikan syarikat terus wujud lalu tidak membuang pekerja yang boleh menambahkan jumlah pengangguran. Kehidupan mereka yang sudah lama hidup mewah perlu dikorbankan demi kemajuan negara pada masa hadapan kerana jika mereka masih mengaut keuntungan menerusi gaji dan bonus yang tinggi sudah pasti syarikat mereka akan kekurangan sumber kewangan untuk mengharungi zaman kemelesetan ini. Oleh itu, pihak swasta harus juga memikirkan orang lain dan tidak hanya mamu menyelamatkan diri mereka sahaja dalam kegawatan sebegini.

Manakala pihak individu pula harus lebih positif mengharungi kegawatan ekonomi ini dengan cuba meningkatkan lagi kemahiran diri mereka seperti menyambung belajar, mengambil kursus jangka pendek dan meningkatkan prestasi diri. Sikap suka meningkatkan kebolehan diri memastikan seseorang pekerja itu terus dihargai oleh syarikat dan kemungkinan untuk dibuang kerja amat tipis. Malah, jika mereka dibuang kerja pun, golongan yang positif seperti ini akan mudah menerima kerja baru kerana mereka memiliki kemahiran lain yang sudah pasti diperlukan oleh syarikat lain pula atau mungkin mereka boleh bekerja sendiri berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini. Lantaran itu, semua orang harus melihat pendidikan sebagai satu proses jangka masa panjang dalam hidup seseorang itu dan tidak menganggap pelajaran tamat selepas meninggalkan bangku sekolah sahaja.

Kesimpulannya, masalah pengangguran ini memang boleh mencetuskan ketidakstabilan jika negara gagal mengawalnya dengan baik berdasarkan pengalaman negara-negara jiran kita terutama Indonesia. Pihak kerajaan bersama-sama swasta perlu menyedari betapa pentingnya sikap bekerjasama untuk memulihkan ekonomi negara dalam masa yang terdekat ini. Tanpa kerjasama masalah ekonomi akan terus wujud lalu menimbulkan banyak masalah kepada rakyat untuk mencari peluang kerja yang baik terutama golongan muda yang baru sahaja keluar dari sekolah.

Comments

Popular posts from this blog

Punca dan Langkah Mengatasi Hujan Asid

Kesan-Kesan Kenaikan Harga Barangan Keperluan Dan Langkah-Langkah Untuk Mengatasinya

Kesan Baik Dan Kesan Buruk Globalisasi