Kesan Positif Dan Negatif Industri Pelancongan
Karangan Tentang Kesan Positif Dan Negatif Industri Pelancongan
Industri pelancongan merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang semakin berkembang pesat di negara kita. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr. Ong Hong Peng, pada suku pertama tahun 2010 jumlah pelancong yang datang ke negara kita telah meningkat kepada 5.75 juta orang berbanding hanya 5.46 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2009. Oleh itu, pada tahun 2010, Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan sehingga RM57 bilion hasil industri pelancongan berikutan pengukuhan ekonomi domestik dan global. Namun begitu, perkembangan pesat sektor pelancongan di negara kita turut mendatangkan pelbagai kesan kepada budaya tempatan. Jadi, kesan positif dan kesan negatif sektor pelancongan terhadap budaya negara kita akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Kesan positif pelancongan terhadap budaya tempatan ialah industri pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat. Melalui pelancongan, kita berpeluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing. Penduduk di negara kita dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing yang datang ke negara kita untuk mengetahui keadaan politik, sosial, dan ekonomi negara mereka. Mereka pula akan mengetahui budaya serta amalan yang unik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Contohnya, amalan “rumah terbuka” yang diamalkan oleh segelintir rakyat negara kita. Jadi, fitnah yang berkaitan dengan negara kita dapat dilenyapkan dan pelancong asing yang datang ke negara kita juga akan bertambah. Jelaslah bahawa sektor pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat.
Selain itu, industri pelancongan juga dapat memperkaya budaya negara kita. Budaya dan amalan yang baik dalam kalangan pelancong yang datang ke negara kita patut dicontohi dan diamalkan oleh rakyat kita. Sebagai contohnya, amalan membaca dalam kalangan pelancong yang datang dari Barat dapat menjadi teladan yang baik kepada penduduk tempatan. Oleh itu, penduduk tempatan juga akan mengikut jejak langkah mereka untuk mengamalkan budaya membaca dari semasa ke semasa. Bukan ini sahaja, pelancong dari Barat dan pelancong dari Jepun amat mementingkan amalan pemakanan yang sihat. Fenomena ini patut dicontohi oleh rakyat kita dan menjadikannya sebagai budaya negara kita. Pelancong asing yang mementingkan kebersihan alam sekitar juga harus dicontohi. Jadi, rakyat kita akan mengekalkan kebersihan alam sekitar demi menggalakkan kedatangan pelancong asing. Pendek kata, pelancongan memang dapat memperkaya budaya kita.
Di samping itu, sektor pelancongan turut dapat mengetengahkan budaya tradisional negara kita kepada pelancong-pelancong asing. Sebenarnya, pelancong –pelancong asing amat tertarik akan budaya tradisional yang ada di negara kita. Jadi, mereka sanggup mengeluarkan masa dan wang mereka untuk melancong ke negara kita. Di negara kita yang berbilang kaum, pelancong asing dapat menikmati pelbagai jenis tarian tradisional seperti tarian ngajat, tarian singa, tarian joket, dan sebagainya. Pelancong asing juga dapat menikmati berbagai-bagai jenis permainan tradisional di negara kita. Misalnya permainan tradisional seperti wau, congkak, gasing dan lain-lain amat digemari oleh pelancong asing. Sudah terang lagi bersuluh, sektor pelancongan memang dapat mengetengahkan budaya tradisional negara kita kepada orang ramai.
Kesan negatif pelancongan ialah kedatangan pelancong mampu menghakis nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat tempatan. Senario ini akan berlaku disebabkan pelancong asing mempunyai pemikiran dan sikap yang berbeza dengan masyarakat tempatan. Biasanya, pelancong asing mempunyai sikap yang terbuka. Namun begitu, masyarakat tempatan biasanya bersikap tertutup dan berfikiran tradisional. Melalui kedatangan pelancong asing, sedikit sebanyak sikap mulia yang ada pada masyarakat tempatan diperkukuh. Hal ini demikian kerana masyarakat tempatan telah senang dipengaruhi oleh budaya mereka. Tuntasnya, pelancongan mampu menghakis nilai-nilai murni masyarakat tempatan.
Selanjutnya, kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada kedatangan pelancong asing. Hal ini demikian kerana pusat hiburan dan pusat membeli-belah akan dibuka dengan banyak demi menjayakan sektor pelancongan. Dengan adanya pusat hiburan seperti karaoke, disko dan pub akan menyumbang kes-kes jenayah. Jadi, kes-kes jenayah di negara kita akan meningkat. Selain itu, pelancong asing berkemungkinan besar akan melakukan kes jenayah seperti vandalisme dan bergaduh di pusat hiburan atau tempat lain apabila berlakunya perselisihan faham dengan penduduk tempatan. Tegaslah bahawa kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada perkembangan sektor pelancongan.
Tambahan pula, sikap materialistik juga akan berkembang akibat daripada sektor pelancangan yang berkembang pesat. Sikap materialistik telah diserap dalam jiwa penduduk tempatan kerana wujudnya sektor pelancongan dalam negara kita. Apabila wujudnya sikap materialistik, maka nilai tolong-menolong yang mendalam dalam kalangan penduduk tempatan telah hilang. Hal ini demikian kerana penduduk tempatan lebih cenderung untuk mendapat keuntungan daripada para pelancong asing sehingga mengabaikan nilai-nilai murni. Penduduk tempatan akan lebih mementingkan keuntungan daripada mewujudkan hubungan rapat dengan pelancong asing. Jelaslah bahawa industri pelancongan mampu mengembangkan sikap materialistik dalam kalangan penduduk tempatan .
Kesimpulannya, sektor pelancongan mampu menyebabkan negara kita berkembang dengan pesat, tetapi sektor tersebut turut meninggalkan impak yang besar kepada budaya tempatan. Jadi, semua pihak harus bekerjasama untuk mencegah kesan negatif yang dibawa oleh pelancong asing. Dengan ini diharapkan sektor pelancongan dapat dimajukan dan hanya meninggalkan kesan positif kepada masyarakat tempatan.
Comments
Post a Comment